CATATAN NURANI

 IKHLAS KERANA-NYA

Sifat ikhlas sangat istimewa. Walaupun sulit untuk diberikan pengertian yang tepat dan  tiada tanda-tanda jelas yang menggambarkan kehadirannya, namun ia memberikan pengaruh yang besar dan bermakna terutamanya dalam amalan dan perbuatan setiap yang bergelar Mukmin. Jika keikhlasan yang mendahului setiap gerak-geri insan, akan lahir keluhuran dan membuahkan keberkatan Allah SWT dalam setiap amalannya. Ia amat berkait rapat dengan persoalan hati seperti yang dimaksudkan oleh hadith Rasulullah SAW : “Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat, dan sesungguhnya bagi seseorang itu apa yang diniatkannya.”(Riwayat Bukhari & Muslim)
Al-Imam asy-Syahid Hasan al-Banna menyatakan, “Ikhlas adalah setiap kata-kata, amalan dan jihad setiap Muslim hanya kerana Allah SWT, untuk mencari keredhaan dan ganjaran baik dari-Nya, tanpa memandang kepada imbuhan duniawi, kemewahan, kemegahan atau gelaran. Justeru, insan itu menjadi pengikut kerana akidah dan fikrah bukan kerana kebendaan atau sebarang kepentingan peribadi.”  Daripada kata-kata Imam Hasan al-Banna, dapat difahami bahawa sifat ikhlas ialah melakukan sesuatu amalan semata-mata kerana mencari keredhaan Allah SWT. Amalan yang dilakukan tidak dicampuri oleh keinginan dunia, keuntungan untuk diri sendiri, mencari pangkat dan darjat, inginkan kemasyhuran, pujian dan dikenali seluruh dunia kerana sesuatu perkara yang ada pada dirinya.
Sebagaimana solat lima waktu yang menjadi tiang untuk meneguhkan dan sebagai perlambangan bagi seseorang yang bergelar Muslim, membezakan dirinya dengan penganut agama lain, sifat ikhlas menjadi penanda aras kepada amalan setiap insan. Justeru, ikhlas disebut di awal solat sebagai pembukaan kepada kesedaran minda bahawa apa yang sedang dilaksanakan ini hanya kerana-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-An`am, ayat 162 yang bermaksud :“Katakanlah olehmu, “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk  Allah SWT, Tuhan yang memelihara dan mentadbir  sekalian alam.”
Sifat ikhlas di dalam diri insan boleh diumpamakan seperti akar tunjang bagi sebatang pokok.  Walaupun tersembunyi di dalam perut bumi dan tidak dapat dilihat oleh pandangan mata, namun ia menjadi penguat dan menyokong pokok itu tumbuh tegak dan teguh walaupun dirempuh oleh angin kencang dan ribut yang melanda. Keteguhan peribadi seperti ini akan melahirkan seorang Mukmin yang mampu bertahan walaupun diuji dengan pelbagai dugaan.  
Keistimewaan Sifat Ikhlas
Kehadiran sifat ikhlas dalam diri individu memberikan pengaruh yang sungguh besar terutamanya ke arah pembentukan peribadi yang syumul dan berkualiti sejajar dengan syariat. Antaranya
Menjauhkan Sifat Berpura-pura
Sememangnya menjadi lumrah manusia jika melakukan kebaikan mereka inginkan pujian, dipandang hebat oleh manusia, mendapat ganjaran keduniaan seperti pangkat, darjat malahan harta benda. Diri akan merasa bangga dan puas jika mendapat ganjaran keduniaan yang diimpikan. Alangkah ruginya golongan yang hanya mendapat kelebihan dunia, di sisi manusia. Namun di sisi Allah SWT semuanya kosong dan tidak bermakna. Setiap amalan yang dilaksanakan, jika tiada keikhlasan hanyalah sesuatu yang hipokrit dan berpura-pura. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Pada hari kiamat nanti, dunia akan dibawa kemudian diasing-asingkan perkara yang dikerjakan kerana Allah dan yang dilakukan bukan kerana Allah, lalu dicampakkan ke dalam api neraka”.  (Riwayat Baihaqi).
Membunuh Sifat Riya’
Sifat riya’ boleh memusnahkan pahala amalan yang dilakukan. Sekiranya melaksanakan sesuatu perkara di hadapan orang lain, perkara tersebut dilakukan dengan sebaik mungkin supaya nampak cantik pada pandangan manusia. Namun, bila bersendirian dan tidak diketahui oleh orang lain, perbuatannya hanya sekadar “melepaskan batuk di tangga”, tidak bersungguh-sungguh dan tidak sempurna. Sifat suka menunjuk-nunjuk ini dapat dihapuskan sekiranya disertai dengan keihklasan niat kerana Allah SWT.
Membentuk Jiwa yang Kental
Seorang yang ikhlas, terselit dalam setiap amalannya niat melakukan kerja kerana Allah SWT. Dalam setiap detik kehidupan pula tidak semua perkara yang dilaksanakan meraih kesempurnaan. Ada cacat cela dan kekurangan yang boleh menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati di kalangan pelakunya. Justeru, dengan keikhlasan akan terbentuk jiwa yang kental, tidak mudah mengalah dengan ujian dan kepayahan. Sekiranya kecewa pada sesuatu masa, jiwa yang ikhlas akan segera terubat kerana yakin setiap yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Secara tidak langsung, individu yang ikhlas akan kembali bangkit untuk melaksanakan yang terbaik kerana Allah SWT tanpa terus menerus terkurung dengan kekecewaan yang telah berlaku.
Memupuk  Sifat Redha dan Tenang
Dunia adalah pentas ujian. Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud : “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata “ Kami  beriman” sedang mereka tidak diuji dengan sesuatu cubaan?”. Bagi insan yang ikhlas menjalani kehidupannya, sudah pasti mereka akan sentiasa tenang walaupun terpaksa melalui kepayahan dan dugaan yang hebat. Mereka akan tetap meneruskan kehidupan dengan hati yang lapang dan redha dengan ketentuan-Nya di samping sentiasa berusaha melakukan yang lebih baik dari semasa ke semasa.
Kesimpulan
Keikhlasan adalah suatu sifat mahmudah yang patut disemai dalam setiap sanubari insan yang mengaku beriman. Sememangnya bukan mudah untuk menjadi seorang yang benar-benar ikhlas dalam kehidupannya kerana ia berkait rapat dengan persoalan hati manusia yang sentiasa berbolak-balik dan tidak nampak tandanya dengan jelas. Apa yang boleh dilakukan, berusahalah dengan sebaik mungkin dalam melaksanakan amalan di dunia ini dan niatkan segala-galanya kerana Allah SWT. Hanya Dia yang selayaknya memberikan ganjaran yang benar-benar setimpal atas apa yang diusahakan. Bagi sesiapa yang telah beramal dengan penuh keikhlasan, tiba-tiba dipuja dan dipuji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, sedangkan itu semua tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan keikhlasan kepada Allah SWT, mereka itulah yang disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “ Rasulullah SAW telah ditanya   berkenaan seseorang yang telah berbuat amal kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya?” Jawab Baginda, "Itulah khabar gembira yang didahulukan buat para Mukmin" (Riwayat Muslim)



Kuasa Cinta

 

Rasulullah SAW bersabda : “Cintailah siapa yang ada di bumi supaya kamu akan dicintai oleh makhluk yang berada di langit “ (Riwayat Tabrani)
Kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mereka berkata : “Kami semua pengasih” Rasulullah SAW bersabda : “Sesungguhnya bukanlah mengasihi seorang sahabatnya sahaja, akan tetapi membawa rahmat kepada manusia, mengasihi semua manusia”. (Riwayat Tabrani)
Erti Cinta
“Kata pujangga cinta letaknya di hati. Meskipun tersembunyi, namun getarannya nampak sekali. Ia mampu mempengaruhi fikiran sekali gus memberi kesan kepada tindakan. Sungguh, cinta dapat mengubah pahit menjadi manis, debu beralih emas, keruh menjadi bening, sakit menjadi sembuh, penjara menjadi telaga, derita menjadi nikmat, dan kemarahan menjadi rahmat. Cinta mampu melembutkan besi, menghancurkan batu karang, membangkitkan yang mati dan meniupkan kehidupan padanya serta membuat hamba menjadi pemimpin. Inilah dahsyatnya cinta!” (Jalaluddin Rumi).
Alangkah indahnya Islam! Di dalamnya ada syariat yang mengatur bagaimana
seharusnya manusia mengelola perasaan cintanya, sehingga menghasilkan
cinta yang lebih dalam, lebih murni, dan lebih abadi.
Islam mengajarkan bahawa seluruh kuasa cinta manusia harus dipupuk menuju pada Allah Yang Maha Pencipta, sehingga cinta kepada-Nya jauh melebihi cinta pada sesama makhluk. Justeru, cinta pada sesama makhluk dicurahkan semata-mata karena mencintai-Nya. Asasnya adalah firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 165, 'Dan di antara manusia ada orang-orang yang mengambil selain Allah untuk dicintainya; mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Sedangkan orang-orang yang beriman amat dalam(taat) cintanya kepada Allah.'
Pengurusan Cinta
Islam mengajar manusia tentang pengurusan cinta, iaitu bagaimana manusia seharusnya menyusun skala prioriti cintanya. Urutan tertinggi perasaan cinta adalah kepada Allah SWT, kemudian kepada Rasul-Nya . Cinta pada sesama makhluk diuruskan sesuai dengan firman-Nya iaitu kedua orang ibu-bapa, kaum kerabat , anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sekerja, ibnu sabil dan hamba sahaya. Sedangkan harta, tempat tinggal, dan kekuasaan juga mendapat posisi untuk dicintai pada tempat yang lebih rendah . Maha Suci Allah, Allah Maha Hebat!
Perasaan cinta adalah abstrak. Namun perasaan cinta mampu diwujudkan
dengan tindakan yang nampak oleh mata. Di antara tanda-tanda cinta
seseorang kepada Allah SWT adalah memperbanyakkan bermunajat, mendirikan solat sunnah,membaca al-Quran dan berzikir kerena dia ingin selalu bersama dan mencurahkan semua perasaan hanya kepada-Nya. Apabila Sang Khaliq memanggilnya melalui suara azan maka dia bersegera menuju ke tempat solat untuk berjumpa dengan-Nya. Bahkan bila malam tiba, dia ikhlas bangun tidur untuk berduaan (berkhalwat) dengan Tuhan kekasihnya melalui solat tahajjud. Betapa indahnya jalinan cinta itu!

Ini dapat dilihat daripada kata-kata di bawah:
“Seseorang tidak akan memiliki kebaikan, meraih kemenangan, merasakan kenikmatan dan kesenangan hakiki kecuali mengesakan cintanya kepada Allah SWT semata, dan Allah lebih dicintainya daripada yang lainnya” ( Ibnu Qayyim al-Jauziah)

Bukti Cinta
Namun hati-hati juga dengan cinta, karena cinta juga dapat membuat orang sihat menjadi sakit, orang gemuk menjadi kurus, orang normal menjadi gila, orang kaya menjadi miskin jika cintanya itu disambut oleh para pencinta palsu. Cinta yang tidak dilandasi kepada Allah. Itulah para pencinta dunia, harta dan wanita. Dia lupa akan cinta Allah, cinta yang begitu agung, cinta yang murni.
Ramai yang mengaku mencintai Allah, dan sering mengatakan mencintai Rasulullah, namun mustahil semua itu diterima Allah tanpa ada bukti yang diberikan. Contohnya ketika Allah menguji cintanya, dengan memisahkannya daripada apa yang membuat dia lalai dalam mengingat Allah, selalunya manusia sukar menerimanya. Ketika Allah memisahkan seorang gadis daripada kekasih hatinya, selalunya sang gadis itu akan lemah, lesu, sedíh. kecewa dan terbaring sakit. Pada ketika seorang isteri dipanggil menghadap Ilahi, sang suami pun tidak mempunyai semangat untuk meneruskan kehidupan.
Ketika harta yang dimiliki hangus terbakar, ramai yang masuk ke hospital sakit jiwa, semua ini adalah bentuk ujian daripada Allah, kerana Allah ingin melihat seberapa dalam cinta hamba-Nya pada-Nya. Allah menginginkan bukti, namun manusia kadangkala tidak berdaya membuktikannya, justru cintanya pada Allah selalu kecundang ketika Allah menarik sedikit nikmat yang telah diberikan-Nya. Itu semua adalah bentuk cinta palsu. Sedangkan semuanya sudah diatur oleh Allah, rezeki, maut, jodoh, dan setiap tarikan nafas kita, itu semuanya sudah ada suratannya pada Allah, kita hanya harus berusaha untuk merealisasikannya.
Sungguh merugikan apabila manusia hanya diletihkan oleh cinta dunia, mengejar cinta makhluk, memburu harta dengan segala cara, dan tidak mahu membantu orang yang memerlukan pertolongan. Sedangkan nasib di akhirat nanti adalah ditentukan oleh amalannya ketika hidup di dunia, Bersungguh-sungguh mencintai Allah, atau terlena oleh dunia yang fana ini. Hanya orang yang bertakwa sahaja yang mampu membuktikan cintanya yang sejati kepada Allah SWT.
Kata-kata yang tepat untuk itu seperti di bawah:
'Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu, jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah cintaku padamu.' {Imam Nawawi)
Cinta Allah
Yakinlah wahai saudaraku, kesenangan dan kesusahan adalah bentuk kasih sayang dan cinta Allah kepada hambanya yang beriman. Kesusahan yang diberi Allah adalah tarbiyah terhadap ruhiyah kita daripada Allah SWT, agar kita sedar bahwa kita sebagai makhluk adalah bersifat lemah, kita tidak mampu berbuat apa-apa pun kecuali atas izin-Nya. Akhirnya tinggal bagi kita membuktikan, dan berjuang bersungguh-sungguh untuk memperlihatkan cinta kita pada Allah, agar kita terhindar daripada cinta palsu.
Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan hambanya yang betul-betul berkorban untuk-Nya.Untuk membuktikan cinta kita pada Allah, ada beberapa perkara yang perlu kita persiapkan iaitu iman yang kuat, ikhlas dalam beramal, berusaha bersungguh sungguh untuk melaksanakan ibadah wajib dan sunah, seperti qiyamullail, puasa sunnah, membaca al-Quran dan menuntut ilmu. Buah daripada ibadah yang kita lakukan pada Allah, dengan keistiqamahan mengamalkannya dalam setiap hembusan nafas dan langkah hidup ini, Insta-Allah kita akan dapat menggapai cinta dan keredhaan-Nya.
Cinta dan kasih sayang membawa kepada kebahagiaan. Isteri menyayangi suami, ibu bapa menyayangi anak-anak, anak-anak menyayangi ibu bapa, jiran-jiran menyayangi jirannya, maka hasilnya masyarakat akan hidup dengan berkasih sayang dan dunia pun akan aman dan damai.
Kasih sayang penuh dengan rasa ikhlas kerana mencari redha Allah. Kasih kepada seorang saudara mencegahnya daripada menderhakai Allah, sayang dalam persahabatan dalam memburu kejayaan yang diredhai Allah Maha Pencipta, kasih kepada masyarakat dengan seruan ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Itulah kasih sayang yang sejati.
Islam menggalakkan umatnya hidup berkasih sayang. Haram hukumnya membenci serta memutuskan kasih sayang sesama manusia, kerana ia mengundang azab Allah.

PERSAHABATAN



PERSAHABATAN tulen memang sukar dicari. Hanya mereka yang benar-benar bersahabat dengan hati tulus dan ikhlas dapat mencari erti persahabatan tulen. Dalam hal ini, Iman Syafie ada memberikan nasihat dalam soal persahabatan.

Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati. Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka atau duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya. Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang.

Barang siapa menghormati orang lain, tentulah dia akan dihormati. Begitu juga barang siapa menghina orang lain, tentulah dia akan dihinakan. Barang siapa berbuat baik kepada orang lain, baginya satu pahala. Begitu juga barang siapa berbuat jahat kepada orang lain, baginya seksa yang dahsyat. Menghadapi musuh.

" Sahabat yang sebenar ialah yang menegur dan membetulkan kesilapan kita ...bukan yang hanya menguagkapkan kata-kata yang manis untuk menjaga kepentingan dirinya..."


Carilah Redha Tuhan


Carilah redha tuhan ,kita tidak akan kecewa
Carilah redha tuhan ,kita akan tenang
Janganlah cari redha manusia ,kita akan kecewa
Suka manusia kepada kita bukan berpanjangan
Adakalanya dia suka kepada kita ,sukanya pura-pura
Suatu hari nanti akan nyata juga
Adakalanya redhanya kepada kita di waktu kita senang
Setelah kita susah ,kita dibuang dan ditendang


Janganlah membuat sesuatu kerana keredhaan manusia
Kerana manusia ramai yang tidak mengenang jasa
Buatlah sesuatu untuk keredhaan Tuhan
Manusia suka atau benci tak usah dipedulikan
Yang penting kita buat itu Tuhan suka
Yang penting usaha kita itu tuhan redha
Dengan manusia tak usah ambil kira
Manusia hendak puji atau manusia hendakk caci
Itu soal dia
Yang penting apa kata Tuhan
Keredhaan Tuhan itu penting
Redha-nya adalah balasan
Balasan-nya adalah berkekalan
Carilah keredhaan Tuhan, hati senang.
 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan